Pelbagai janji diberikan kepada peneroka Felda dan orang kampung, bagi mereka jatuhnya kawasan itu dalam genggaman mereka bermakna hasrat meme­rintah negara tentu tertunai juga.

Takdir penentu segala, ge­lombang rakyat berlaku di kampung-kampung dan Felda, sokongan beralih arah, PH menang banyak kerusi di kedua-dua kawasan tersebut.

Strategi PH berjaya, mereka kini mendapat labanya, namun bagi penduduk kampung yang majoriti petani dan pekebun kecil pula sebaliknya, nasib mereka tetap tidak berubah, kehidupan terus terhimpit dengan tekanan.

Harga getah dan kelapa sawit jatuh menjunam, pendapatan pekebun kecil menurun dan terjejas. Dikatakan mahu membeli lima kilogram beras pun sudah tidak mampu lagi.

Kerajaan baharu seperti tidak endah, macam tiada apa-apa yang berlaku. Belanjawan 2019 yang diharap dapat memberikan berita gembira hanya menambahkan lagi duka.

Bantuan musim tengkujuh untuk penoreh dimansuh sama sekali, nilai pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) pula jauh lebih rendah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula secara terbuka berkata, kerajaan tidak akan meneruskan budaya memberi insentif kepada nelayan, penoreh getah dan peneroka sawit. Kepada siapa lagi boleh mereka bergantung harap?

Mujurlah secara tiba-tiba Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir muncul. Ke­nyataannya bahawa isu penoreh getah akan dibangkitkan dalam perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat selain tidak menolak peruntukan tambahan untuk golongan itu tentunya memberikan kelegaan.

Keluh-kesah dan keperitan sedang ditanggung pekebun kecil dan peneroka Felda ini bukanlah kisah rekaan. Simpati, bantu dan belalah nasib mereka, kuasa sudah di ta­ngan, balaslah jasa dan pengorbanan besar mereka, janganlah ibarat habis madu sepah dibuang begitu sahaja.