MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN 

Sokongan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang memberitahu bahawa menegur bangsa Melayu sendiri merupakan `cap dagang’ Perdana Menteri itu sejak dulu lagi.

Walau bagaimanapun, beliau percaya tidak semua Melayu mempunyai sifat-sifat negatif seperti dinyatakan kerana masih wujud orang Melayu yang rajin, bijak, berani dan mempunyai sifat amanah.

“Apa yang pasti, kepimpinan Melayu itu sendiri banyak mencorak adat budaya serta mentaliti kaum tersebut.

“Sejak dari zaman monarki mutlak, hingga ke era demokrasi berparlimen, para pemimpin Melayu yang bertanggungjawab mengemudi kaum pribumi majoriti di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Faiz, silapnya ialah pemimpin Melayu selama ini kebanyakkannya mengajar orang Melayu agar `berjiwa hamba’ dan taat setia secara membabi-buta.

Beliau juga mendakwa, kebanyakan Melayu diasuh agar menghormati seseorang itu berdasarkan umur, gelaran serta kekayaan material semata-mata. 

“Walaupun tidak semua Melayu bermentaliti sebegitu, namun jelas dizahirkan melalui drama-drama Melayu di kaca televisyen, apabila kehidupan elitis dan utopia menjadi daya tarikan untuk ditonton sungguh pun tiada jalan cerita menarik atau lakonan berkesan,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE