Sedangkan apa yang berlaku, menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy, beberapa bahagian pengundi bukan Melayu telah meninggalkan PH dalam PRK berkenaan yang disifatkan mengejutkan ramai.

Sehubungan itu, tambah Timbalan Ketua Menteri II berkenaan, keputusan PRK Rantau harus menjadi pembuka mata sebenar kepada PH yang mana kawasan pelbagai kaum tidak lagi boleh diambil kira begitu sahaja.

Malah, jelas beliau, kawasan pelbagai kaum itu akan menjadi cabaran serius pada tahun mendatang dan PH tidak lagi boleh mengganggap sokongan masyarakat bukan Melayu akan selalu berpihak secara tetap kepada mereka pada masa depan.

“Mengapa pengundi bukan Melayu kecewa dengan PH? Adakah ini kerana kehidupan seharian mereka yang tidak begitu baik di bawah kerajaan baharu? Atau adakah ini kerana PH tidak dapat lagi menunaikan apa yang dijanjikan?

“Walaupun tidak ada jawapan yang jelas terhadap ketidakupayaan PH dalam menunaikan janji selama tempoh 11 bulan yang lalu, kesulitan kekurangan faedah ekonomi yang nyata untuk rakyat mungkin menjadi sebab utama PH tidak dapat merealisasikan janji mereka,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Menurut Ramasamy, walaupun isu-isu besar tidak penting bagi PRK, namun kegagalan kerajaan PH menterjemahkan beberapa janji pilihan raya yang penting mungkin tidak menerima tindak balas yang baik dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Katanya, pemimpin PH tidak dapat meyakinkan masyarakat yang mana kehidupan mereka telah bertambah baik di bawah kerajaan PH, malah sehingga kini tidak ada jadual untuk menunjukkan pelaksanaan sistem manifesto pilihan raya secara sistematik.

“Pengajaran yang menyedihkan harus dipelajari daripada pengalaman yang mengecewakan di tiga PRK lalu.

“Sekiranya PH bercita-cita untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, keputusan yang menyakitkan dan tidak popular perlu diambil untuk mendapatkan sokongan masyarakat Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE