MOHD. AMAR NIK ABDULLAH

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal demikian kerana, Dr. Mahathir sentiasa merasakan dirinya betul termasuk sanggup melemparkan tu­duhan tidak berasas terhadap golongan ulama termasuk mufti.

Katanya, disebabkan itu, Pas awal-awal lagi memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Dr. Mahathir meskipun beliau merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Kerjasama kalau berlaku sekalipun hanya antara Pas de­ngan PPBM bukan dengan Dr. Mahathir sebab kita tahu dia tidak boleh bekerjasama. Kita juga sama sekali tidak akan mende­ngar apa-apa panda­ngan Dr. Mahathir.

“Dr. Mahathir ini, tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa pun. Kalau betul nak kerjasama, beliau mesti ubah sikapnya. Dr. Mahathir kena ingat beliau bukan lagi Perdana Menteri atau Presiden UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Perdagangan Karbon dalam hutan simpan kekal antara kerajaan negeri dengan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd., di salah sebuah hotel di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas me­ngenai tindakan Dr. Mahathir melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap mufti berhubung isu haji mabrur, Mohd. Amar hanya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri perangai bekas Presiden UMNO itu.

Dalam masa sama, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar turut menasihatkan Dr. Mahathir agar kembali ke pangkal jalan.

“Itulah sikap Dr. Mahathir sejak dulu, dia bercakap semua perkara walaupun tidak faham apa pun. Dr. Mahathir daripada zaman jadi Perdana Menteri dan selepas jadi Perdana Menteri sama sahaja.

“Bukan hari ini sahaja dia berdepan dengan mufti, dulu pun begitu juga, sebab dia merasakan dirinya setaraf dengan golongan ulama,” katanya.