SHAHRIR ABDUL SAMAD

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, situasi itu seolah-olah menggambarkan negara ini sedang melalui zaman yang pelik di mana institusi tertinggi tidak terlepas daripada tindakan saman.

“Tiada apa yang tidak dibawa ke mahkamah tetapi apabila tidak dapat keputusan, kata mahkamah tidak adil. Kalau tidak adil macam mana boleh dibawa ke mahkamah? Turun naik mahkamah?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran buku tulisan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berjudul Dasar Buku Negara & TN50: Suatu Perjuangan Yang Perlu di Bangunan Parlimen hari ini.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan dari PKR, Hee Loy Sian memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Setiausaha Dewan Rakyat berikutan keputusan menolak soalan beliau berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Shahrir menjelaskan, pembangkang sepatutnya memahami bukan semua soalan ditolak kerana ada juga yang telah dijawab, dibahaskan, dibicara dan diperhalusi menerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Bahas dibuat di merata-rata, bukan hanya di Parlimen, itu ha­nya dijadikan sebagai helah sahaja. Kalau mahu bahas, suara yang paling kuat, bilangan yang paling ramai itulah yang diputuskan dalam Parlimen.

“Banyak perkara telah dibahas dan diputuskan di Parlimen tetapi akhirnya hendak juga bawa ke luar. Jadi kenapa hipokrit sa­ngat?” katanya.

Dalam pada itu, berhubung isu reka bentuk jambatan untuk projek kereta api Sistem Transit Ra­pid (RTS) menghubungkan Woodlands, Singapura dengan Bukit Chagar, Johor Bahru, Shahrir menyokong pendapat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak bersetuju dengannya.

“Saya memahami hasrat Sultan Johor, mungkin ada cara menyeberang dari lokasi A ke lokasi B merentasi Selat Tebrau supaya tidak perlu dilencong atau dibengkokkan. Itu semua boleh dibincangkan, teguran Sultan Johor itu ada sebabnya,” ujarnya.