Exco Pemuda UMNO, Ahmad Badurol Hisham Mukhatar berkata, kenyataan seperti diungkap oleh Mahfuz itu semakin kerap untuk didengari dan dibaca lebih-lebih lagi ada dalam kalangan yang menjawat jawatan menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidaklah berkelulusan tinggi.

"Petikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahfuz ternyata memperlihatkan dirinya sendiri tidak senang akan kerjasama UMNO dan Pas. Lebih-lebih apabila Pokok Sena juga masih boleh dikategorikan sebagai kubu kuat Pas.

"Mahfuz ini boleh dikatakan sebagai seorang yang kononnya lantang dalam membuat kenyataan di hadapan wartawan, ditambah dengan ayat sarkastik dan sinikal, itulah yang memperlihatkan ciri beliau sebagai seorang Yang Berhormat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mahfuz yang juga merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), menyifatkan Pas seperti menanggung biawak hidup dan kerjasama UMNO dan Pas dilihat lebih kepada penyebaran pembohongan dan dakyah palsu bagi mengapi-apikan sentimen perkauman serta agama.

Sementara itu, jelas Ahmad Badurol Hisham, kenyataan oleh Mahfuz itu hanyalah cubaan mengalih perhatian oleh PH yang tidak mahu melihat kerjasama UMNO dan Pas berlaku.

"Sebab itulah, satu persatu fitnah mereka lontarkan untuk memastikan UMNO dan Pas kembali bertelagah. Saya berpendapat, lebih baik untuk UMNO dan Pas memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada usaha kerjasama.

"Melayan sikap dan perangai ahli Parlimen seperti Mahfuz ini untuk hiburan bolehlah," katanya.-UTUSAN ONLINE.