Dalam pengumuman pembahagian kerusi DUN Pulau Pinang yang akhirnya dimuktamadkan malam tadi selepas beberapa kali tertangguh, PKR hilang dua kerusi yang ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

Dua kerusi itu adalah di DUN Bertam dan Teluk Bahang yang terpaksa dilepaskan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadikan PKR kini hanya mempunyai 14 kerusi berbanding 16 pada pilihan raya umum lalu.

 

Ironinya, tidak ada satu pun daripada 19 kerusi yang dimiliki DAP diberikan kepada mana-mana parti pembangkang lain meskipun parti itu mempunyai kerusi terbanyak.

 

Alasan untuk mewajarkan keputusan itu kononnya kerusi yang ditandingi DAP tersebut majoriti pengundinya ialah Cina, maka lebih strategik untuk diletakkan calon DAP.

 

Tetapi PKR Pulau Pinang juga mempunyai ramai calon Cina yang boleh menggantikan calon DAP, justeru mengapa tidak calon Cina PKR berkenaan diberi peluang sama rata?

 

Apa yang jelas adalah sikap dominan dan berkuasa penuh DAP dalam pembangkang sama ada di Pulau Pinang atau di peringkat Pusat.

 

DAP tidak mungkin akan tunduk dengan desakan PKR jauh sekali PPBM atau PAN yang boleh disifatkan lagi tidak mempunyai pengaruh di negeri ini.

 

Malah, parti itu juga tidak yakin dengan kemampuan PKR, PPBM atau PAN untuk memenangi lebih banyak kerusi di negeri ini sekali gus menyokong mereka untuk membentuk kerajaan negeri.

 

Apa yang mengecewakan juga adalah sikap tunduk dan mengalah khususnya pemimpin PKR yang terus merelakan mereka dibuli DAP.

 

Mana suara pemimpin PKR yang sebelum ini bersungguh-sungguh menunjukkan kepada ahli dan penyokong mereka kononnya parti itu mempunyai peranan penting dalam pembangkang?

 

Mengapa tidak dibuktikan dalam isu pembahagian kerusi DUN di Pulau Pinang yang akhirnya terpaksa juga diserahkan kepada PPBM?

 

Sudah tiba masanya PKR, PAN dan PPBM menerima hakikat kewujudan mereka khususnya di Pulau Pinang tidak lebih kepada talian hayat kepada DAP untuk terus berkuasa.

 

Kerana pada akhirnya, suara mereka tidak pernah diambil peduli atau memberi kesan kepada pemimpin DAP. – UTUSAN ONLINE