Bekas ahli seumur hidup DAP, Shamsher Singh Thind berkata, pemilihan Dr. Mahathir juga melenyapkan segala perjuangan pembangkang sebelum ini de­ngan menukarkan kepada isu-isu yang membelenggu sepanjang 22 tahun pemerintahan bekas Perdana Menteri berkenaan.

Malah, tambahnya, isu se­perti skandal mata wang, projek kad pengenalan, serangan ke atas sistem kehakiman dan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditentang habis-habisan pembangkang sebelum ini seolah-olah sudah dilupakan.

“Isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) juga sudah dilupakan selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menyertai pembangkang.

“Saya juga yakin jika Datuk Seri Najib Tun Razak turun, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga akan dilupakan malah pembangkang akan memuji beliau kerana memperkenalkan 1MDB jika Najib menyertai pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsher yang merupakan bekas ahli DAP Kawasan Taman Chai Leng turut membidas pemimpin DAP dan PKR yang disifatkan beliau sebagai tidak mempunyai pendirian tetap dalam berpolitik.

“Bukan setakat air liur sahaja, muntah, kencing dan najis pun Pakatan Harapan sanggup jilat demi kesinambungan kerjaya politik mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak pemimpin DAP yang bersorak ketika Dr. Mahathir mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada hanya dua penggal kerana seolah-olah terlupa Dr. Mahathir pernah memegang jawatan itu selama 22 tahun.

“DAP menganaktirikan wakil rakyat sendiri, Teh Yee Cheu kerana meminta jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

“Namun apabila Pakatan Harapan bercadang mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, DAP ba­ngun tepuk tangan. Inilah sifat munafik DAP,” katanya.