Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang berkata, isu tersebut telah pun termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan, malah proses penurunan kuasa telah pun di dalam perbincangan Persekutuan dan kerajaan negeri ketika ini.

“Kita juga tidak menentukan jangka masa mengenai hasil keputusan perbincangan isu hak penurunan kuasa itu.

“Bagaimanapun, apa juga perkara berbangkit akan kita bincangkan sekiranya ada keperluan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Chang Foong Hin (DAP-Sri Tanjong) yang mahu agar perkara itu dibincangkan ketika Sidang DUN Sabah di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini telah berkali-kali menegaskan kerajaan sentiasa terbuka untuk membincangkan proses penurunan kuasa antara Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Proses penurunan kuasa telah pun dilaksanakan ke atas beberapa perkara antaranya Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang pelaksanaannya diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.

Terdahulu ketika menjawab soalan awal Foong Hin mengenai perkembangan proses penurunan kuasa tersebut, Chee Kang berkata, Jawatankuasa Kajian Hak-Hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah mengadakan mesyuarat kedua 29 pada November 2016.

Menurut beliau, pihak peguam negara akan membawa perkara mengenai penurunan kuasa itu untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Pemandu bagi pertimbangan dan seterusnya dikemukakan ke Kabinet Pusat.

Dalam pada itu, katanya, jawatankuasa kajian hak-hak Sabah telah menjemput sebanyak 17 parti politik untuk menghadiri satu pendengaran yang diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri bertujuan memberi pandangan dan pendapat berhubung isu berkaitan. - UTUSAN ONLINE