Usul itu dikemukakan oleh Datuk Seri Azlan Man (BN-Bintong) yang juga Menteri Besar yang kemudian dibahaskan oleh Rozieana Ahmad (BN-Pauh) manakala pembangkang diwakili Asrul Nizan Abd. Jalil (PKR-Sena) dan Ahmad Shukri Ramli (Pas-Sanglang).

Azlan ketika membacakan usul itu menjelaskan, penolakan ratifikasi ICERD bukanlah bermakna pihak berkenaan menyokong diskriminasi kaum di negara ini tetapi adalah berasaskan kebimbangan langkah tersebut akan membawa kepada penghapusan hak-hak keistimewaan tertentu orang Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak.

“Harus dingat, keistimewaan ini telah dipersetujui oleh semua kaum semasa kita mencapai Kemerdekaan sebagai timbal balas terhadap orang Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak yang bersetuju memberi kerakyatan kepada penduduk bukan Pribumi yang kemudian disebut sebagai kontrak sosial,” katanya.

Kata beliau, pemberian kerakyatan itu merupakan pengorbanan yang besar kepada orang Melayu dan Pribumi kerana tanpanya, penduduk bukan Pribumi tiada tempat dituju, tiada hak ke atas mana-mana tanah di dalam negara seterusnya sudah tentu tidak boleh mengecapi sepenuhnya nikmat kebebasan.

“Keistimewaan ini pula adalah sesuatu yang kecil dan sebenarnya untuk membantu penduduk Pribumi yang merupakan majoriti dan memperbetulkan semula agihan kekayaan negara ekoran daripada dasar pecah dan perintah oleh penjajah British yang tidak memihak kepada penduduk Pribumi,” katanya.

Menurut Azlan, di dalam Artikel 2 ICERD menyebut bahawa mana-mana pihak yang meratifikasikannya perlu mengkaji dan meminda dasar, peraturan serta undang-undang yang mendiskriminasikan mana-mana kaum.

Justeru ujar beliau, sudah tentu hak-hak keistimewaan kaum Pribumi yang dianggap ‘diskriminasi’ oleh pihak luar akan dipinda sedangkan ia adalah kontrak sosial yang dipersetujui semua pihak sebelum ini.

Dalam pada itu, Azlan ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas tersebut mengucapkan terima kasih kepada semua 15 wakil rakyat kerana menyokong usul tersebut yang sekali gus jelas menunjukkan kesemuanya bersikap profesional dan mengenepikan perbezaan politik. - UTUSAN ONLINE