Pengerusinya, Tan Sri Ambrin Buang berkata, siasatan itu adalah berdasarkan permintaan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sendiri.

“Secara umum, jawatankuasa ini memfokuskan kepada kes-kes yang memcurigakan. Kalau kementerian itu tiada kes yang mencurigakan kita tak perlu siasat.

“Di Kementerian Pertahanan, kita ada senarai tetapi biarlah ia dibincangkan terlebih dahulu. Kita pun ada bilangan anggota yang terhad jadi kita perlu lihat keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa itu di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Ambrin yang juga bekas Ketua Audit Negara bagaimanapun menjelaskan, kuasa penguatkuasaan tetap berada di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Sehubungan itu jika pihak jawatankuasa merasakan berlaku salah guna kuasa, beliau berkata, pihaknya akan mendekati kedua-dua pasukan berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Jawatankuasa ini diputuskan di peringkat Kabinet sudah tentu laporan kita sediakan akan dihantar ke Perdana Menteri. Kita tiada tempoh masa dan semua bergantung kepada siasatan serta analisis kita,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Jun lalu mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dengan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian pertama untuk disiasat.

Sementara itu, Ambrin hari ini mengumumkan ahli-ahli jawatankuasa tersebut antaranya bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Tan Sri Dr. Abdul Samad Alias; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr. Tap Salleh dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (Integriti), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Selain itu, jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara, Datin Paduka Ong Swee Leng serta peguam bela dan peguam cara, Dr. Zulqarnain Lukman. - UTUSAN ONLINE