Menteri berkenaan Dr Maszlee Malik berkata beliau telah mengarahkan pegawai kementerian untuk menyiasat dan memberi taklimat penuh tentang masalah di sebalik isu pemberian kontrak itu, yang mungkin mewujudkan isu ketidakpatuhan tatacara perolehan yang serius.


"Walaupun beberapa pegawai kementerian cuba membetulkan keadaan selepas menyedari wujudnya isu ketidakpatuhan tatacara perolehan dalam projek itu namun, nasihat tersebut tidak dipedulikan pihak berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion itu yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan bekas pemimpin tertinggi negara.


Pemimpin berkenaan juga didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan, pada Januari tahun lepas, agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu untuk melaksanakan projek tersebut.


Menghuraikan isu tersebut, Maszlee berkata terdapat 369 sekolah di Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.


Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.


Beliau berkata mulai 1 Jan 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Dis 2019 dengan nilai 'melebihi RM1 bilion' termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).


Menurutnya peratusan siap projek itu jauh rendah lebih rendah daripada sasaran 51 peratus yang sepatutnya dilaksanakan setakat 15 Mei lepas akibat kelewatan kontraktor memulakan kerja.


"Secara ringkas, projek ini menimbulkan persoalan, kenapa perolehan yang sebegitu besar tidak dilakukan secara tender terbuka dan bagaimana Jepak diberi monopoli tanpa melalui proses yang sepatutnya," kata beliau.


Sambil menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan awal terhadap isu itu, Maszlee mengarahkan pegawai Kementerian Pendidikan supaya memberi kerjasama bagi membantu suruhanjaya itu membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.


SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata ia telah menjalankan siasatan awal terhadap isu itu pada awal April lepas setelah menerima maklumat daripada orang awam.


Susulan itu, SPRM telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan daripada Kementerian Pendidikan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan dibawah Akta SPRM 2009 bagi diteliti sama ada ia mengandungi unsur rasuah. - BERNAMA