Penasihat Kelab Generation2u United, Kalam Azad Abu Bakar berkata, berdasarkan maklumat yang didedahkan melalui laman sesawang http://selangor-leaks.com terdapat beberapa elemen bersifat rasuah berlaku melibatkan transaksi tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan pendedahan itu, tanah-tanah tersebut telah dirampas oleh kerajaan negeri pada 2009 ekoran kegagalan kedua-dua pemaju membangunkan tanah tersebut dalam jangka masa ditetapkan.

“Pihak LBCN dan MZSB kemudiannya telah menyaman kerajaan ne­geri, namun gagal selepas mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan ma­sing-masing membatalkan saman dan menolak rayuan mereka.

“Kedua-dua pihak berkena­an kemudiannya merayu ke Mahkamah Persekutuan, namun sebelum rayuan didengar secara tiba-tiba kerajaan negeri telah menandatangani penghakiman persetujuan untuk memulangkan semula tanah tersebut kepada LBCN dan MZSB,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di sini.

Kalam Azad berkata, tindakan Kerajaan PKR Selangor itu telah menimbulkan persoalan besar kerana mereka mempunyai ke­lebihan selepas mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan memihak kepada mereka.

Beliau berkata, persoalan le­bih besar timbul apabila syarikat pemaju, Eco World Group Deve­lopment Bhd. (Ecoworld) mengumumkan pembelian sebahagian tanah-tanah yang dimiliki LBCN dan MZSB pada September 2015.

“Persoalan yang timbul ialah bagaimana Ecoworld membeli tanah-tanah berkenaan sedangkan masih menjadi subjek perbalahan dan litigasi di mahkamah antara LBCN dan MZSB dengan kerajaan negeri Selangor.

“Kesemua persoalan tersebut hanya timbul selepas kerajaan negeri diterajui oleh kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.