Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sepatutnya orang yang 
dicari dan disiasat ialah individu yang memberikan duit kepada beberapa 
pemuda seperti di dalam gambar yang tular di media sosial.

"SKMM nak siasat  siapa yang sebarkan gambar tersebut di Facebook, 
ini sudah lain. Sepatutnya orang yang dicari ialah orang yang menghulurkan suapan. 

"Kalau sudah ada bukti, mereka sepatutnya ambil tindakan terus tetapi 
SKMM tidak mengambil tindakan,  barangkali Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo  ada di program tersebut maka Timbalan Menterinya terpaksa cakap begitu," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi 
dialog dengan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron 
Highlands, Ramli Mohd. Nor di sini semalam.

Ka Siong mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, 
Eddin Syazlee Shith yang berkata, SKMM sedang melakukan siasatan bagi 
mengenalpasti pemegang akaun Facebook yang menyebarkan gambar pemberian duit yang dikatakan oleh jentera parti politik di dalam media sosial.

Katanya, siasatan dilakukan dahulu oleh SKMM sebelum tindakan lanjut 
termasuklah laporan polis dibuat.


Menurut Ka Siong, pihak berkuasa perlu menyiasat perkara tersebut setelah 
Pemuda MIC membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Polis Tanah Rata di sini 
semalam.

Katanya, polis perlu menyiasat siapakah individu yang memberikan wang 
tersebut kemungkinan dia pegawai atau pembantu kepada mana-mana wakil 
rakyat.

"Kalau orang ini masih buat demikian,  maka sehingga 26 Januari ini 
mereka akan tabur (duit) sahajalah. Jika duit minyak sekalipun, ia tidak 
boleh.

"Jika SPR tidak boleh menyiasat perkara ini, Suruhanjaya Pencegahan 
Rasuah Malaysia (SPRM) boleh melakukan siasatan," katanya. - UTUSAN ONLINE