Pada masa sama, mereka turut menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung tragedi Memali sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Pas Kawasan Kota Bharu, Azmi Mat Hussin berkata, kerajaan Pas Kelantan juga seharusnya memainkan peranan membawa dua isu berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

“Isu kekayaan keluarga Dr. Mahathir sudah dilaporkan kepada pihak SPRM di Putrajaya oleh ahli PPBM sendiri beberapa bulan lalu manakala keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi Memali memerlukan pembelaan sewajarnya menerusi penubuhan RCI.

“Kami berharap sangat kedua-dua perkara ini dibuat segera sebelum PRU-14 bagi memastikan rakyat tahu hal sebenar dan membuat pilihan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai perhimpunan aman yang disertai sekumpulan ahli dan penyokong Pas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di hadapan Masjid Al-Fattah Mukim Kota di sini hari ini.