Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siasatan itu perlu disegerakan atas dasar kepentingan awam dan mengelakkan rakyat berterusan berpolemik mengenai reputasi institusi Islam tersebut yang banyak jasanya kepada umat Islam di Malaysia dan begitu dihormati seluruh dunia. 

Bagaimanapun, katanya, Pemuda UMNO tetap konsisten dengan pendirian bahawa selagi tidak disabitkan hukuman, seseorang itu berhak dilayani sebagai tidak bersalah berasaskan prinsip Islam iaitu al-aslu bara’atu zimmah dan prinsip perundangan.

“Biar proses perundangan berjalan dengan adil, telus, tanpa prejudis di mahkamah kelak dan bukannya dihukum di pentas media. Pemuda UMNO menegaskan bahawa isu berkaitan integriti dan moral tidak boleh sesekali dikompromi apatah lagi apabila melibatkan institusi agama yang diharapkan rakyat mengamalkan prinsip tadbir urus pada tahap yang lebih tinggi. 

“Saya memandang serius laporan media hari ini berhubung tindakan pihak pengurusan Tabung Haji yang membuat laporan polis terhadap bekas Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Yayasan Tabung Haji terdahulu berkait dakwaan penyelewengan dana yayasan yang disalurkan untuk kegiatan politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jumaat lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Antara pihak yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah dan beberapa kakitangan kanan termasuklah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff. - UTUSAN ONLINE