Ketua Biro Politik Pemuda Mic Kebangsaan, Arvind Krishnan berkata, siasatan perlu dilakukan ke atas calon Pakatan Harapan, M. Manogaran supaya kerajaan sekarang tidak terus bertindak sesuka hati.

"Kami telah buat laporan polis di Cameron Highlands tetapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan wang yang diagihkan itu bukan untuk memancing undi tetapi adalah bayaran petrol khas untuk sukarelawan parti tersebut.

"Jika benar mereka sukarelawan, kenapa perlu diberikan imbuhan, bukankah sukarelawan itu membuat kerja secara sukarela," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arvind menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan bertindak membatalkan pencalonan Manogaran.

"Bagaimana calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang lalu boleh dibatalkan akibat terpalit dengan isu rasuah sedangkan tiada bukti.

"Ini bukti sudah jelas dengan gambar yang tular di media sosial, tetapi tiada tindakan diambil oleh SPRM ke atas Manogaran," ujarnya. - UTUSAN ONLINE