Pengerusi Nadi Rakyat Sungai Besar, Khairulnaem Abu Samah berkata, dakwaan yang didedahkan oleh Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin baru-baru ini itu perlu disiasat kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor.


Beliau percaya lebih banyak kes rasuah di Selangor akan terbongkar dan rakyat dapat menilai siapa dalang sebenarnya.


“Korupsi jelas berlaku dengan Mohd. Fauzi selaku Ahli Majlis Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berada dalam mesyuarat majlis yang meluluskan projek untuk syarikat yang ada kepentingan keluarganya.


“Abu Talib selaku Ahli Majlis (Perlesenan) MDSB jelas menerima suapan bagi menyokong syarikat berkepentingan Mohd. Fauzi memperoleh projek,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan entri blog Badrul Hisham berkaitan dakwaan rasuah berkenaan ke pihak SPRM di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di sini hari ini.


Pada entri blog chegubard.blogspot.my bertarikh 5 Februari lalu, Badrul Hisham mendakwa perbuatan rasuah itu berlaku ketika Mohd. Fauzi dan Abu Talib menjadi Ahli MBSB. 


Katanya, sangat jelas terbukti Mohd. Fauzi yang berada dalam mesyuarat majlis, telah meluluskan syarikat Ligat Bina Enterprise yang mempunyai kepentingannya untuk mengendalikan Ekspo Raya dan Bazaar Ramadhan MDSB 2016. 


Mohd. Fauzi juga didakwa membayar RM10,000 kepada Abu Talib sebagai habuan untuk membantu kelulusan tersebut. - UTUSAN ONLINE