Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Senator Husam Musa berkata, perkara seperti ini perlu didedahkan kepada rakyat sekiranya wujud unsur penerimaan wang yang boleh menjejaskan prinsip parti tersebut.

"Saya terkejut dengan kenyataan itu dan ini bermakna siasatan perlu dilakukan. Ini kerana, parti politik memainkan peranan yang besar dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan menjaga pengurusan yang baik dalam negara ini.

"Malah, saya juga berharap pihak polis menyiasat dakwaan terhadap pemimpin Pas sebelum ini yang dikatakan menerima sebanyak RM90 hingga RM200 juta melalui pihak tertentu dan menggunakan bank tertentu," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Perkongsian Ilmu berkaitan Senario Jenayah Komersial di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Guru Malaysia Berhad, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Husam mengulas mengenai laporan media semalam bahawa pihak polis perlu meneliti terlebih dahulu sekiranya terdapat laporan mengenai dakwaan kononnya UMNO telah memindahkan sejumlah RM2.5 juta kepada Pas dengan sumber wang itu kemungkinan daripada dana 1MDB yang diseleweng.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim​​​​​ berkata, pihaknya perlu melihat laporan itu sama ada mempunyai unsur rasuah, jenayah biasa atau jenayah komersial. - UTUSAN ONLINE