Difahamkan, ada beberapa nama yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu, antaranya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dan Setiausaha PPBM negeri, Datuk Osman Sapian.

Pada PRU-14, selain mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, Muhyiddin yang pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor semasa dalam kerajaan BN turut memenangi kerusi DUN Gambir.

Salahuddin pula menang besar di kerusi Parlimen Pulai menewaskan calon BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta calon Pas, Dr. Mohd. Masri Yahya manakala calon Bebas, Yap Keng Tak turut menang di DUN Simpang Jeram.

Sementara itu, Osman yang sebelum ini pernah menjadi wa­kil rakyat DUN Kempas semasa bersama BN, dipilih semula di bawah tiket Pakatan Harapan selepas tidak dicalonkan oleh BN dalam PRU-13.

Bagaimanapun, sehingga petang semalam belum ada pemimpin Pakatan Harapan yang menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memohon perkenan menubuhkan kerajaan negeri dan perlantikan menteri besar baharu.

Berkemungkinan besar, pe­mimpin Pakatan Harapan akan memohon perkenan daripada Sultan Ibrahim esok.