Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, memandang­kan Kit Siang tidak mempunyai alasan kukuh, desakan tersebut dilihat kerana adanya perasaan cemburu dan hasad dengki terhadap Perdana Menteri.

Katanya, Kit Siang juga mungkin bimbang pertemuan itu bakal menjadi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ke­rana memberi impak positif terhadap pentadbiran negara yang dikemudi Najib.

“Siapa Lim Kit Siang nak suruh Perdana Menteri batalkan pertemuan? Beliau tidak ada hak dan kedudukan untuk tentukan Perdana Menteri boleh atau tidak boleh melawat mana-mana negara dan berjumpa dengan mana-mana pe­mimpin. Itu hak Perdana Menteri.

“Beliau sebenarnya cemburu dan dengki sebab ini memperlihatkan hubungan baik kita dengan AS yang merupakan kuasa besar dunia. Ini juga menonjolkan Najib sebagai pemimpin hebat di peringkat antarabangsa dan inilah yang ditakuti pembangkang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Korban Perdana Wanita UMNO Kelantan melibatkan 11 ekor lembu di perkarangan kediaman Ketua Penerangan Wanita UMNO Kelantan, Zarina Md. Eusope, di sini hari ini.

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

Yang turut hadir Ketua Wanita UMNO Kelantan, Datin Rahimah Mahammad serta Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sebab utama Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu PKR berbaik dengan Pas adalah kerana tidak yakin dengan keupayaan PAN dan DAP.

“Itu menunjukkan Pakatan Harapan tiada harapan untuk menang jika tiada sokongan daripada Pas. Kekuatan mereka dulu datang daripada Pas sehingga mereka menang di Selangor dan banyak tempat lain.

“Hari ini bila Pas tidak lagi bersama, mereka mula bimbang. Ini maknanya parti yang masuk Pakatan Harapan diketuai DAP tidaklah sekuat manapun untuk menghadapi PRU-14,” katanya.