Ya, pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO pastinya telah mencongak siapa yang layak ditampilkan.

Takrif calon boleh menang atau winnable candidate bergantung kepada kawasan tertentu. Ada kawasan inginkan muka baharu kerana sudah bosan de­ngan kerenah yang lama. Ada juga tempat yang mahu muka lama dikekalkan kerana mereka boleh dipercayai.

Dua perkara pokok yang boleh memenangkan UMNO dan BN ialah pertama, perpaduan ahli-ahli UMNO dan kedua, meletakkan winnable candidate.

Untuk bersatu-padu, ahli UM­NO hendaklah memaafkan kesilapan masa lalu. Tidak susah memaafkan - hanya dengan satu keputusan.

BN juga tidak perlu takut dengan bayang-bayang lama. Mungkin wujud perjanjian antara parti dalam BN mengenai pengagihan kerusi. Namun jika terlalu terikat, sesete­ngah kerusi barangkali akan hilang.

Dalam politik, walau bagaimana baik sekalipun seseorang calon atau bakal calon yang penting ialah tanggapan masyarakat.

Ada orang bekerja terlalu kuat tanpa retorik bercakap banyak soal politik. Itupun satu masalah buatnya. Suatu ketika bekas Perdana Menteri Thailand, Kukrit Pramoj diwawancara pemberita mengenai persaingan politiknya.

Dia dikalahkan oleh adiknya dalam pilihan raya umum. Selepas itu dia menang sekali lagi. Apabila pembe­rita bertanya program atau rancangan baharu yang hendak dilaksanakannya, Kukrit Pra­­moj menjawab:

“Kali ini saya tidak akan buat apa-apa ran­cangan pun kerana saya kalah dalam pilihan raya yang lepas kerana banyak program baharu yang saya kete­ngahkan dan saya tidak ada masa untuk berpolitik.’

Bila ditanya lagi “bagaimana kamu mahu kekalkan jawatan jika tidak buat apa-apa?” Beliau menjawab sambil menunjuk ke arah pergunungan Himalaya: “Kau lihat gunung itu, dia tidak buat apa-apa tetapi dia kekal di sana.” Mereka pun tertawa.

Setiap ahli UMNO sebenarnya adalah winnable candidate jika berpegang teguh kepada kepentingan par­ti. Barangkali bo­leh dipetik panduan oleh mana-mana individu yang bercita-cita tinggi untuk menjadi calon dari syarahan bekas Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan sehingga mengabaikan ingatan melobi tadi.

Dalam majlis Lectures by Eminent Persons beberapa tahun lalu itu, Surin berkongsi kisah mengenai neneknya yang setiap malam bercerita kepadanya kisah-kisah nabi dan sahabat dan juga pelbagai ilmu mengenai agama Islam.

“Setelah habis dia bercerita dan sebelum saya pergi tidur, dia katakan Wallaahua’lam. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.’

Nenek Surin ialah pengasas sebuah pesantren atau pondok di Pattani.