Mohamed Azmin Ali

Timbalan Presiden PKR itu berkata, selama ini beliau hanya bersabar dan mengambil pendirian untuk tidak ‘menyerang’ semula individu terbabit meskipun tindakannya itu dipersoalkan.

“Ada budak-budak kecil dua, tiga kerat nak persoalkan ke­se­tiaan saya. Saya sabar, saya tidak pun serang mana-mana individu sehingga orang kata Mohamed Azmin kamu terlalu diam.

“tetapi pepatah Melayu me­nyatakan diam-diam ubi berisi, jangan jadi seperti tin kosong, riuh satu kampung tidak ada isi pun,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Perdana Selangor 2018 di sini hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, ‘bu­dak-budak kecil’ itu juga masih ‘mentah’ dalam perjua­ngan reformasi tidak seperti beliau dan pemimpin lain yang terpaksa menempuh pelbagai pengalaman pahit dan getir sebelum ini.

“Bila bercakap soal reformasi tahun 1998, 1999, 2000, saya dipukul, dihina. Ketika PKR masih baharu di Sarawak, saya beli penyapu, kopak pintu kedai dan cuci lantai nak siapkan bilik gerakan demi nak bina PKR di Sarawak. Mana ‘budak-budak kecil’ masa itu? Tahun 1998 dia pun tidak ada lagi, yang ada pun lari ke Australia, ke Jakarta (Indonesia) dan orang ini sekarang nak bercakap soal reformasi.

“Saya bukan marah tapi dalam keghairahan berkempen serahkan fakta kebenaran, jangan maki hamun, jangan fitnah. Ya, saya ada kelemahan, boleh tegur, mari kita bekerjasama perkukuh parti. Reformasi bukan milik ‘Sdn. Bhd.’, reformasi ialah milik rak­yat. Selama 10 tahun kita berjuang dan saksikan beberapa kemenangan daripada dua ne­geri, sekarang dapat Putrajaya, jadi buat kerjalah,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Hal Eh­wal Ekonomi itu menyeru semua pi­hak supaya tidak meme­cahkan perpaduan yang cukup utuh dalam PKR.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan timbalan pre­siden pada pemilihan PKR tahun ini juga percaya anggota parti akan memilih pemimpin yang telah diuji dan teruji dalam usaha memperkukuhkan lagi parti berbanding sebelum ini.

“Dengan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya lama de­ngan beliau, 14 tahun bermula di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan sehingga ke Jabatan Perdana Menteri, saya yakin gabu­ngan ini akan dapat ang­kat martabat anggota PKR dan memperkukuh kerajaan,” katanya. – BERNAMA