Wakil rakyat berkenaan, ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, beliau telah mendengar rakaman audio tersebut secara sepintas lalu namun enggan mengulas bahawa rakaman tersebut ialah suara beliau.

“Saya rasa saya tak boleh komen kerana kita tak tahu sumber video tersebut,” katanya dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Shahrul Zaman bagaimanapun mengakui beliau merupakan antara ADUN UMNO yang ditemui oleh seorang individu ketika isu gerakan menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Namun menjelaskan, beliau tidak tahu menahu mengenai rakaman audio tersebut yang dikatakan mirip suara beliau.

“Saya akui saya adalah salah seorang yang ditemui dalam satu dua pertemuan (ketika isu gerakan menjatuhkan MB), jadi apa yang diperkatakan dalam rakaman audio itu bukan sesuatu yang baharu.

“Sebelum ini pun perkara itu diceritakan kepada kita, jadi ia bukan perkara baharu,” katanya.

Shahrul Zaman mengulas mengenai satu rakaman audio yang dikatakan mirip suara beliau dalam perbualan dengan seorang lagi individu yang mengkritik pentadbiran Ahmad Faizal yang tular dalam media sosial sejak semalam. - UTUSAN ONLINE