MOHD. SHAFIE APDAL
MOHD. SHAFIE APDAL

Mohd. Shafie berkata, beliau juga tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana syarikat yang sedang disiasat dan bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan.

Menurutnya, semasa menerajui KKLW, kementerian berkenaan sentiasa mencapai prestasi memberangsangkan malah turut mencatat indeks penilaian prestasi yang cemerlang antara 2009 hingga 2012.

“Kami berjaya melaksanakan tanggungjawab, ini semua fakta. Kementerian saya adalah untuk bantu rakyat, bukannya kita ambil duit masuk akaun.

“Kami bukan bercakap bohong. Jangan beritahu saya semua syarikat ini (yang disiasat) adalah milik saya. Jangan mereka-reka cerita,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Dakwa Mohd. Shafie, sepanjang memimpin KKLW, tiada masalah timbul, namun segala-galanya berubah selepas beliau tidak lagi bersama kerajaan.

“Bila saya bersama kerajaan, prestasi bagus. Sekarang bila saya di luar kerajaan, apa yang saya buat adalah salah. Kenapa sebelum ini tiada salah kerana saya memperjuangkan hak rakyat dan negara, bukannya kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas mengenai penyokong parti Warisan yang terkejut dengan penahanan Naib Presiden mereka, Datuk Peter Anthony, Mohd. Shafie berharap semua pihak dapat bersabar.

“Kita berada di landasan yang baik dan benar untuk teruskan visi serta misi perjuangan,” katanya.