Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S. A. Vigneswa­ran.

Wui Chung 53, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil daripada Universiti South Dakota State, Amerika Syarikat dilantik sebagai Senator setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Vigneswaran berkata, pelantikan Wui Chung itu diharapkan dapat membantu memperkasa imej Parlimen sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi.

“Saya mengucapkan tahniah atas pelantikan Wui Chung sebagai Ahli Dewan Negara buat pertama kali.

“Saya berharap beliau akan mempertingkat mutu debat di Dewan Negara ini dan mendukung visi rakyat secara gigih ke arah membina negara yang maju serta progresif dalam semua aspek pembangunan,” katanya selepas selesai acara angkat sumpah di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu Wui Chung berkata, beliau akan memberi keutamaan kepada pelbagai isu rakyat untuk diketengahkan tidak kira sama ada di peringkat nasional atau dari Sabah.

Katanya, pelantikannya itu juga merupakan penghargaan dan menjadi tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada rakyat.