Shahruddin ketika ditemui selepas itu ber­kata, beliau telah memberikan kerjasama penuh dengan mengemukakan segala maklumat yang diperlukan ROS.

‘‘Kemungkinan saya akan di­pang­gil sekali lagi sekiranya maklumat diberikan tadi tidak cukup lengkap. Buat masa ini saya minta semua pihak bertenang kerana segalanya masih dalam siasatan,’’ katanya.

Sebelum ini, beberapa bahagi­an PPBM membuat laporan kepada ROS ekoran kegagalan kepe­mim­pinan parti itu mematuhi per­lembagaan, antaranya tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan di semua cawangan dan bahagian selepas setahun ditubuhkan.

Sementara itu, Shahruddin memaklumkan, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Armada akan hadir memberi keterangan kepada ROS dalam masa terdekat berhubung penggunaan istilah Armada.

Katanya, ROS telah menghantar surat kepada kedua-dua individu terbabit untuk memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

Minggu lalu, ROS memberi kata dua kepada PPBM sama ada selesaikan segera masalah penggunaan istilah Armada atau tindakan diambil ke atas parti itu.

ROS memaklumkan kesalahan yang dilakukan oleh PPBM kerana menggunakan istilah Armada yang tidak terkandung dalam perlembagaan parti adalah berat dan boleh menyebabkan parti itu dibatalkan pendaftarannya.