Tengku Adnan

Setiausaha Agung UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sesiapa sahaja mempunyai hak untuk bertanding di kerusi berkenaan dan terpulang kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pihaknya tiada sebarang halangan dan bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kerusi berkenaan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Sebagai sebuah kerajaan yang sedang memerintah ketika ini, kita akan terus bekerja keras untuk keselesaan dan kesejahte­raan rakyat. Saya yakin rakyat lebih tahu menilai untuk memilih mana yang baik dan sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Mahathir dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan PPBM menyatakan beliau sedang meneliti tiga kawasan Parlimen untuk bertanding dalam PRU-14 iaitu di Kubang Pasu, Langkawi dan Putrajaya.

Menurut Tengku Ad­nan, sekiranya PPBM mahu menjadi sebuah pertubuhan siasah yang membela nasib rak­yat, perjuangan yang dibawa oleh pemimpin parti berkenaan mestilah terbukti menuju ke arah itu dan bukannya sekadar muncul di pentas politik mencerca pemimpin lain.

“Saya ada dengar ucapan mereka semalam, kenapa banyak fitnah dan cercaan yang dilontarkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mahathir sendiri bertalu-talu menuduh, memburukkan dan mengecam Perdana Menteri.

“Saya berkeyakinan rakyat akan sedar mereka ini adalah se­perti parti serpihan lain yang mungkin ditubuhkan kerana rasa sakit hati, ego, dendam dan hanya ingin mencapai matlamat masing-masing yang sebelum ini mereka tidak sempat untuk merasa,” katanya.

Terdahulu hari ini, Tengku Adnan menghadiri Program Jom Kembali ke Sekolah dan Jom Potong Rambut di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) di sini yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya.

Program berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Mara itu membabitkan kira-kira 400 pelajar yang mendapatkan khidmat gunting rambut percuma daripada pelajar GiatMARA.