Perhitungan tersebut juga meliputi soal sejauh mana keyakinan mereka terhadap kerjasama di antara Pas dengan UMNO. Selepas ‘cuba-cuba’ di Sungai Kandis gagal membuatkan hasil, DUN Seri Setia bakal menjadi ukuran khususnya buat orang Melayu.

Namun, jika formula yang le­bih baik daripada di Sungai Kandis gagal diterjemahkan segera, ramai sudah boleh menjangkakan tidak banyak tekanan mampu diberikan Pas dan UMNO walaupun kedua-dua parti berkenaan semakin mesra pergaulannya.

Bagi PH pula, sepanjang tempoh 100 hari, banyak yang sudah diperkata dan dipersoalkan terutamanya kegagalan kerajaan PH menunaikan janji dalam manifes­tonya, tetapi isu berkenaan juga masih tidak cukup kuat sewaktu di Sungai Kandis tempoh hari.

Kali ini, melewati 100 hari, ia dilihat tempoh terbaik untuk para penggundi di Seri Setia yang berjumlah 53,492 menilai prestasi PH. Apakah lebih baik daripada kerajaan terdahulu atau sebaliknya? Jika lebih buruk PH perlu disedarkan.

Ini kerana banyak yang cakap tak serupa bikin telah berlaku. PH mendakwa pentadbiran baharu akan memastikan kedaulatan undang-undang terlaksana, tetapi kes rasuah dan salah guna kuasa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, digugurkan begitu sahaja.

PH yang sebelum ini lantang mengkritik amalan kronisme dan nepotisme khususnya dalam penganugerahan kontrak kerajaan, bertindak memberikan kontrak kepada Petron yang menimbulkan banyak persoalan kerana hubung kaitnya dengan anak Perdana Menteri.

Begitu juga dalam hal isu harga barang. PH menjanjikan harga barang akan turun apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan dan diganti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tetapi hakikatnya rakyat tertipu kerana ia tidak berlaku.

Selain itu, keresahan-keresahan dalam aspek fundamental juga semakin menghimpit rak­yat. Keterbukaaan kerajaan PH terhadap golongan liberal dan kumpulan lesbian, gays, biseksual dan transgender (LGBT) juga sebenarnya sedang dinilaikan.

Justeru, adalah wajar untuk rakyat di Seri Setia menghantar satu mesej yang jelas kepada kerajaan PH. Jika besar kepala, dan seolah-olah bersikap ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’ terhadap teguran rakyat, kad laporan perlu tegas.