Menurutnya, di dalam politik, usaha menjatuh dan memburukkan pihak lawan merupakan perkara biasa, namun ia tidak mendatangkan masalah kepadanya.

“Orang tahu apa yang sebenarnya berlaku, mcm isu rumah, itu bukan rumah saya, dia katakan macam-macamlah tapi terpulang. Saya percaya dan yakin orang akan dapat membezakan dan mengenal pasti mana yang betul mana yang tidak.

“Buat apa saya nak cabar, biarlah dia buang peluru, buat apa saya nak buang peluru saya, cara dia nak memburukkan nama saya, mengaitkan saya daripada dulu lagi. Tak perlulah saya jadi budak-budak, dia main pasir saya main abu, buat apa, saya buat kerja saya dan saya tak akan terganggu dan ini cara mereka untuk buat konsentrasi saya terganggu,” katanya.

Mohamad yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRK Rantau di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Mohamad, beliau berharap pengundi-pengundi di Rantau terutamanya penyokong BN supaya dapat keluar menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian, 13 April ini.

“Sebagai calon saya kena yakin tapi tak boleh terlalu yakin, kerja sehingga saat akhir dan jentera kena bergerak dan buat kerja elok-elok terutama pada hari akhir iaitu semasa hari mengundi supaya semua pengundi-pengundi yang telah kita temui dipastikan mereka keluar untuk mengundi.

“Tak guna mereka menyatakan sokongan tapi akhirnya mereka tidak keluar mengundi sebab pilihan raya itu yang penting adalah mengundi itu. Kita juga telah susun gerak kerja untuk membawa pengundi yang telah kita kenal pasti di tempat masing masing untuk kita bawa keluar,” katanya. - UTUSAN ONLINE