SHAHRIR SAMAD
SHAHRIR SAMAD

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, meskipun Bellew telah tampil membuat penjelasan bahawa tiada campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan mahupun Najib berhubung peletakan jawatan itu, Dr. Mahathir terus melemparkan tuduhan palsu itu.

Malah, Bellew juga telah menjelaskan keputusan MAB untuk membeli pesawat Boeing dan menambah laluan penerbangan baharu telah dilakukan sebelum ini, dan langkah itu sejajar dengan pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu.

“Apabila MAB membuat keputusan untuk melantik seorang warga asing sebagai peneraju syarikat penerba­ngan itu, Dr. Mahathir menyerang Najib dan kini apabila warga ­asing itu mahu meletak jawatan sebagai CEO, Dr. Mahathir juga menyerang Perdana Menteri.

“Tindakan Dr. Mahathir sangat jelas bahawa serangannya berunsur kebencian peribadi, ego dan bukannya berdasarkan fakta atau untuk kebaikan negara,” katanya dalam satu kenya­taan hari ini.

Kelmarin, Bellew mengadakan sidang akhbar berhubung penafiannya terhadap tuduhan Dr. Mahathir mengenai campur tangan kerajaan dalam peletakan jawatannya pada 8 Oktober lalu.

Kata Bellew, keputusan untuk meletakkan jawatan sejak dua minggu lalu adalah keputusan dirinya sendiri.

Dalam pada itu Shahrir berkata, seperti dijelaskan oleh Bellew, masalah MAB telah bermula pada tahun 1994 di bawah pemerintahan Dr. Mahathir apabila bekas Perdana Menteri itu telah menswastakan MAS dalam usaha menutup sebahagian daripada kes kerugian Bank Negara Malaysia melalui ke­giatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

“Malah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga berulang kali me­nyalahkan Dr. Mahathir atas krisis yang dihadapi MAS. Malah, kita juga perlu tahu, Dr. Mahathir dalam bukunya sendiri pernah menyatakan kekecewaannya ti­dak dilantik sebagai Penasihat MAS selepas beliau meletak jawatan.

“Jadi, perkara ini membuktikan motif serangan beliau (Dr. Mahathir) terhadap MAB adalah berunsur peribadi semata-matanya. Perbuatan itu tidak membantu atau memberi manfaat kepada MAB dan kepentingan negara. Keinginan beliau ha­nyalah untuk menjejaskan dan menyingkirkan Perdana Menteri yang dilakukan atas kebencian peribadi dan ego,” katanya.