Beliau berkata, sesuatu isu atau perkara yang dibangkitkan tanpa penjelasan oleh bekas Perdana Menteri yang telah mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun itu akan menimbulkan persoalan kepada rakyat.

“Kita akui Dr. Mahathir sudah berada dalam senario politik negara begitu lama dan beliau memang berjasa dengan apa yang dilakukan.

“Tetapi kalau beliau ungkit benda-benda yang kadangkala tidak ada penjelasan dan jawapan, kita memang mempersoalkannya juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian berkata, rakyat tidak mempunyai sebab untuk menolak kerajaan sedia ada kerana mereka telah disediakan dengan pelbagai kemudahan.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merugikan rakyat, sebalik­nya lebih mengutamakan kebajikan mereka termasuk penduduk di kawasan pedalaman.

“Adakalanya perkara itu tak sengaja berlaku dan kita berdepan dengan masalah. Pada zaman Dr. Mahathir pun ada masalah dan zaman siapa pun tetap ada masalah yang berlaku.

“Tak ada sesuatu pemerintahan yang boleh dilakukan tanpa masalah. Semuanya berhadapan dengan masalah mengikut peredaran zaman dan juga pengaruh luar,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, apa yang paling penting pada masa ini adalah kerjasama rakyat dan kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian setiap masalah yang dibangkitkan itu.

“Saya meletakkan keyakinan BN akan terus kekal memerintah dan mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya nanti.

“Semangat kerjasama dan strategi yang ditonjolkan seluruh jentera parti untuk memastikan kemenangan tetap milik BN,” katanya.