Suri rumah itu berkata, beliau berbuat demikian sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan dan pembangkang tidak membenarkan calon mereka bercakap dalam dua PRK sebelum ini.

“Saya akan memakai sepit baju atau pelekat di mulut selama dua hari.

“Ketika PRK Cameron Highlands, Barisan Nasional (BN) tidak benarkan calon mereka bersuara dan perkara sama dilakukan pula pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Semenyih,” dakwanya kepada pemberita di Pasar Malam Pekan Rantau di sini hari ini.

Tindakannya mengepit bibir dengan sepit baju berwarna putih sambil mengedarkan kad kempen itu mencuit hati segelintir pengunjung yang tertawa melihat gelagatnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan memerlukan sekitar RM10,000 untuk tujuan kempen dan berharap orang ramai dapat memberi sumbangan kepadanya. - UTUSAN ONLINE