Beliau bagaimanapun mengakui berdepan cabaran untuk membentuk Kabinetnya, kerana perlu membuat pertimbangan dari segi bilangan kementerian yang diagihkan kepada setiap empat parti dalam Pakatan Harapan.

Malah katanya, faktor bangsa dan negeri kelahiran juga menjadi antara cabaran untuk menamakan seseorang menteri bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan empat parti gabungan tersebut.

“Terdapat empat parti dan inilah yang menimbulkan masalah. Saya perlu mengambil kira berapa jumlah kementerian yang mereka dapat dan apakah kementerian yang mereka perolehi.

“Hal ini berbeza sewaktu menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 apabila saya hanya perlu mengisi tempat kosong setiap kementerian, kerana kebanyakkan (ahli Parlimen) merupakan ahli-ahli UMNO,” katanya dalam klip video temu bual bersama The Edge Markets, yang turut dimuat naik dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Pada masa sama, Dr. Mahathir turut menjelaskan, pengalaman Lim Guan Eng yang berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan Pulau Pinang sewaktu menjawat jawatan Ketua Menteri menjadi sebab utama mengapa Setiausaha Agung DAP itu dipilih sebagai Menteri Kewangan.

“Sudah tentu kaum Melayu mahu jawatan itu disandang oleh Melayu. Tetapi sebelum ini kita pernah melantik seorang berbangsa Melayu sebagai Menteri Kewangan tetapi beliau menyebabkan kehilangan banyak wang.

“Bukan soal bangsa diutamakan, tetapi yang penting adalah kualiti dan pengetahuan seseorang itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE