Ahmad Faizal yang mengakui sedang menyesuaikan diri dengan kesibukan tugas sebagai Menteri Besar berkata, keputusan muktamad bagi pemilihan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu bagaimanapun tertakluk kepada perkenan Sultan Nazrin.

"Exco yang boleh dilantik adalah seramai 10 orang dan mininum empat orang. Jadi saya akan mendapatkan perkenan tuanku.

"Tentunya ia melibatkan semua komponen parti dalam Pakatan Harapan dan kita cuba memenuhinya mengikut seberapa banyak komposisi (kerusi parti yang majoriti) tetapi terpulang kepada tuanku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Perak yang diadakan di hadapan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa. Majlis juga dikejutkan dengan kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang tampil untuk memberikan sokongan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, Ahmad Faizal berkata, setelah berbincang dengan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal serta dimaklumkan tentang keadaan kewangan negeri yang memuaskan, pihaknya berhasrat untuk melaksanakan segala yang dijanjikan dalam manifesto dalam pilihan raya, bermula tahun ini.

Mukhriz pula berharap, kerjasama erat dapat dijalin lebih rapat antara Kedah dan Perak dalam membangunkan negeri masing-masing dengan sokongan daripada kerajaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE