“Kita tunggu pada sesi penggulungan Ahad ini. Segala jawapan serta persoalan yang ditimbulkan oleh wakil rakyat dalam perbahasan akan saya gulung dan jawab.

“Kalau perkara lain tiada kerana semuanya under control (terkawal),” ujar Osman ringkas mengulas mengenai status Pulau Kukup yang ditukar menjadi tanah kesultanan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah dan Penyerahan Berkelompok Program Baiti Jannati Negeri Johor 2018 di Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas di sini sebentar tadi.

Kelmarin Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan dan langkah tersebut supaya kawasan itu akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Sebelum ini satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara bertarikh 24 September lalu kini mula tersebar dalam laman sosial.

Menurut Warta Kerajaan Johor itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup itu berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor (1989).

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seamlam pula meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Usul berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). - UTUSAN ONLINE