SYARHAN HUMAIZI ABD. HALIM
SYARHAN HUMAIZI ABD. HALIM

Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Syarhan Humaizi Abd. Halim, usul itu perlu dibahaskan dengan teliti supaya sebarang keputusan mengenainya boleh dibawa di peringkat tertinggi parti.

"Kita serahkan kepada peringkat cawangan-cawangan terlebih dahulu untuk membahas usul itu sebelum menilai sejauh mana perkembangan mengenai tahaluf siyasi dengan PKR.

"Sebagai mana yang telah disuarakan oleh Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebelum ini, hubungan kita dengan PKR sedang dikaji secara serius dan ia akan dibawa dalam Muktamar Tahunan Pas nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isu kedudukan tahaluf siyasi antara Pas dengan PKR dilihat semakin memuncak ketika ini apabila Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat, Kelantan sebulat suara meluluskan usul tergempar mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya minggu lalu.

Selain itu, Pas Kawasan Permatang Pauh dilaporkan turut mengambil ketetapan yang sama apabila Yang Dipertuanya, Omar Hassan menyifatkan PKR telah mengkhianati Pas ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Parlimen Sungai Besar di sini, masing-masing pada tahun lalu.

Pada masa sama, Pas Kawasan Bayan Baru turut memutuskan hubungan dengan PKR ekoran tindakan beberapa pemimpin parti itu membelakangkan Pas ketika masih bekerjasama dalam pembangkang di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Syarhan Humaizi ketika ditanya mengenai hubungan dengan DAP, beliau menyatakan tindakan Pas memutuskan kerjasama dengan parti itu sebelum ini merupakan satu tindakan yang tepat ekoran sikap DAP yang mencampuri sensitiviti umat Islam.

"Campur tangan DAP dalam urusan umat Islam, sebenarnya itulah kebiadaban DAP. Tidak ada perkataan yang layak kepada DAP, melainkan mereka ini biadab terhadap Islam," ujarnya. - UTUSAN ONLINE