SURAYATI IBRAHIM
SURAYATI IBRAHIM

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim berkata, pihaknya serius berhubung perkara tersebut dan akan menyoal siasat Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh di Ibu pejabat ROS, di sini Selasa ini bagi memastikan isu istilah Armada tersebut di­selesaikan secepat mungkin.

Katanya, ROS akan meminta PPBM mempercepatkan usaha meminda perlembagaan parti itu bagi membolehkan istilah Armada digunakan secara sah menggantikan ‘Pemuda’ seperti yang telah termaktub ketika ini.

“Istilah Armada ini tiada dalam perlembagaan parti tersebut jadi, kita keliru apabila orang menyebut-nyebut istilah Armada bagi merujuk kepada sayap pemuda PPBM.

“Parti lain menggunakan nama pemuda, kenapa tidak PPBM? Lebih-lebih lagi perkara itu termaktub dalam perlembagaan parti itu sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ROS sebelum ini menerima aduan daripada beberapa exco Pemuda PPBM yang mendakwa beberapa ahlinya telah dipecat dan turut keliru dengan istilah Armada kerana difahamkan ia tiada dalam perlembagaan parti.

Sebelum ini, sebanyak lapan bahagian parti itu mendakwa pucuk pimpinan gagal mengadakan mesyuarat agung peringkat bahagian dan cawangan justeru ahli-ahli tidak mengetahui status kesahihan penjawat jawatan dan kedudukan parti sehingga kini.

Dalam pada itu, Surayati me­negaskan, mana-mana pertubuhan politik perlu serius dalam memastikan tadbir urus mereka berada pada tahap yang terbaik bagi melancarkan perjalanannya.

Paling penting katanya, adalah pertubuhan-pertubuhan itu mengikut perlembagaannya sendiri.

“Dalam isu PPBM, jika perlembagaannya tidak dipinda, maka penggunaan istilah Armada yang tidak terkandung dalam perlembagaan parti adalah kesalahan berat dan boleh menyebabkan pertubuhan itu dibatalkan,” katanya.