Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Azmin telah melepaskan peluang untuk mengambil alih kesemua ekuiti syarikat konsesi air di Selangor, termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd. (Splash), langkah yang diyakini dapat menangani krisis air yang berlanjutan di negeri tersebut.

“Melalui perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan dahulu, mereka bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM9.65 bilion supaya kerajaan negeri Selangor dapat mengambil alih semua ekuiti syarikat konsesi air.

“Sekarang ini bukan masa untuk kita menyalahkan sesiapa. Kerajaan negeri perlu segera ambil alih syarikat-syarikat ini, barulah masalah ini dapat dise­lesaikan,” katanya ke­tika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Malaysia (PRM) dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Azmin yang cuba untuk berlepas diri dengan menya­lahkan Splash atas gangguan bekalan air yang melanda 427 kawasan di sekitar kawasan Selangor dan Lembah Kelang bermula 6 Mac lalu.

Terdahulu, Kementerian Te­naga, Teknologi Hijau dan Air melalui Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut mendedahkan lima punca utama gangguan bekalan air di kawasan tersebut termasuklah sumber yang tidak mencukupi, ketiadaan rizab bekalan air bersih, paip pecah, penangguhan pembinaan Loji Langat 2 dan kelewatan penstrukturan se­mula industri air.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan untuk beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRK-14), Abdul Khalid menegaskan beliau tidak akan bertanding namun bersedia untuk turun membantu beberapa parti berkempen.

Antara parti yang dimaksudkan adalah Pas dan PRM yang disokong atas perjuangan kedua-dua parti tersebut mengangkat nilai-nilai demokrasi.

“Memang saya telah tetapkan dari dahulu lagi, saya hanya akan menjadi wakil rakyat selama dua penggal sahaja. Tempoh tersebut telahpun tamat,” ujarnya.