Pemerhati politik berpanda­ngan ini kerana kawasan pengundi Melayu yang ramai dianggap be­risiko kepada Anwar, memandangkan isu semasa memperlihatkan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menjaga sentimen orang Melayu.

Malah, kawasan bilangan pengundi Melayu yang ramai juga boleh mengundang berlakunya unsur-unsur sabotaj untuk menggagalkan kemenangan Anwar, sekali gus menghalangnya menjadi Perdana Menteri kelapan.

Penganalisis politik firma penyelidikan Skydata Centre, Dr. Ainul Adzellie Hasnul menganggap Selayang atau Pandan adalah kawasan yang sesuai untuk Anwar jika risau tentang persepsi sentimen penolakan Melayu terhadap PH.

“Berdasarkan isu kepentingan Melayu dan Islam seolah-oleh dipinggirkan, agak berisiko jika Anwar bertanding di kawasan Melayu.

“Strategi utama adalah untuk memastikan kemenangan Anwar. Jadi saya lihat kawasan pengundi Cina dan India yang ramai akan menjadi pilihan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan pecahan kaum pengundi di Pandan dan Selayang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pengundi Melayu adalah sekitar 45 peratus hingga 49 peratus.

Semasa PRU-14, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majori­ti 52,543 di Parlimen Pandan, meskipun pencabar terdekatnya merupakan calon Barisan Nasional (BN) berbangsa Cina.

Dalam pada itu, Pas meminta jentera parti di Pandan untuk bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil (PRK) yang dijangka ditandingi Anwar.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad ekoran khabar angin kemungkinan Wan Azizah bakal mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada suami beliau.

“Mesej saya kepada jentera Pandan agar bersiap sedia. Khabar angin bertiup kencang Anwar akan bertanding di sini. Pas bersedia jika berlaku PRK,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sela­yang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah tidak pasti adakah kawasan masing-masing perlu dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar, kerana keputusan akan ditentukan oleh parti.

Lokasi pilihan Anwar itu turut mencetuskan perang mulut antara dua Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Tian Chua kerana didakwa berlaku rahsia sesama mereka.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan mereka yang rapat dengan Anwar turut dihubungi bagi mengesahkan Pandan sebagai pilihan Presiden PKR itu, namun tidak dijawab sehingga waktu penerbitan.