Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, alasan berlaku kerosakan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) sudah lama diketahui sejak Disember 2016 tentulah tidak dapat diterima oleh pengguna.

"Jika sudah sekian lama diketahui, mengapa baru sekarang mereka hendak melaksanakan kerja-kerja baik pulih? Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) perlu tampil memberikan penjelasan mengenai soal kelewatan ini.

"Ini kerana masalah yang berulang kali berlaku ini membuatkan rakyat berasa jelak. Bantuan bekalan air yang datang pula bukanlah penyelesaian efektif kerana bukan semua orang mampu untuk beratur dan mengangkut air pada waktu tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Irmohizam berkata, bagi para peniaga pula sudah pasti pendapatan mereka terjejas kerana ada yang terpaksa tutup, malah ada yang mengunakan cawan serta pinggan kertas, namun kosnya pula tidak efektif dan merugikan.

"Perkara sebegini dapat dielakkan jika tindakan awal diambil segera setelah mengetahui punca yang boleh menjejaskan bekalan air.

"Kerajaan negeri Selangor tidak seharusnya berdolak dalik jika mereka sebenarnya tidak berupaya menguruskan air di Selangor," katanya. - UTUSAN ONLINE