Muhammad Mohd. Taib

Dalam tempoh tersebut macam-macam diperkatakan mengenai langkah Muhammad yang sebelum itu memilih untuk bersama Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebelum membuat keputusan menyertai PKR tidak lama selepas itu.

Ada yang menyambut de­ngan tangan terbuka dan ada pula yang menyindir terutama dalam kalangan parti pembangkang.

Muhammad dengan jelas menegaskan keputusan kembali ke pangkuan parti yang telah melonjakkan karier politiknya itu setelah melihat sendiri ‘warna sebenar’ pembangkang khususnya PKR serta parti-parti di dalam Pakatan Harapan dike­tuai DAP.

Beliau juga berkali-kali menafikan keputusan kembali kepada UMNO kerana mengejar jawatan, sebaliknya bertekad mahu membantu parti keramat itu merampas semula Selangor.

Dalam tempoh dua bulan ini, ba­nyak yang telah difikirkan Muhammad, terutamanya percaturan menjelang PRU-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Berbekalkan pengalaman luas dalam politik Sela­ngor, di samping pernah bersama-sama dengan kepemimpinan di pihak pembangkang, Muhammad yakin kehadirannya bakal melonjakkan peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) merampas negeri itu daripada PKR.

Bercakap pada majlis me­nyambut kepulangannya di Damansara semalam, Muhammad tanpa berselindung menyatakan pertandingan tiga penjuru merupakan pilihan terbaik UMNO untuk kembali mentadbir Selangor.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, perkara itu bergantung kepada kawasan dan kepemimpinan parti perlu membuat analisis secara terperinci mengikut DUN.

“Berapa kawasan Melayu boleh bagi (undi), berapa kawasan bukan Melayu boleh bagi. Kena head count kawasan-kawasan ini, baik dua penjuru atau tiga penjuru.

“Kalau nak menang saya harapkan pertandingan tiga penjuru. Kalau tiga penjuru Menteri Besar akan datang dari UMNO,” jelas beliau.