Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata), Adzly Manas berkata, tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan negeri itu amat dikesali khususnya bagi rakyat di Sungai Buloh yang ketika ini terdedah kepada risiko kehilangan nyawa serta harta benda kerana tidak mempunyai kemudahan BBP yang hampir di kawasan mereka.

Merujuk kes kebakaran serentak yang memusnahkan tujuh buah kedai di Paya Jaras Hilir dan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sungai Buloh 1 Julai lalu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu mengambil pengajaran daripada kejadian itu selain memahami akan kepentingan pembinaan BBP di sesebuah kawasan di negeri ini.

“Memang benar tidak ada sesiap boleh meramalkan perkara di luar jangka berlaku. Namun, ianya boleh ditangani melalui langkah pencegahan kebakaran termasuklah penyediaan kemudahan BBP yang lengkap dan hampir di kawasan penduduk.

“Kejadian kebakaran yang berlaku di Paya Jaras Hilir dan Kawasan Perindustrian Sungai Buloh itu satu contoh pentingnya kemudahan BBP dibina di Bandar Rahman Putra. Sekurang-kurangnya tempoh tindak balas dapat singkatkan dengan aset-aset pemadaman kebakaran yang mencukupi sekaligus mengurangkan kadar kemusnahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adzly turut membidas sikap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sehingga kini yang masih enggan menurunkan caj premium tanah sebanyak 2.4 juta dan RM5 juta kepada KPKT untuk membina BBP masing-masing di Bukit Rahman Putra dan Setia Alam. - UTUSAN ONLINE.