Arahan itu dikeluarkan menerusi surat pekeliling bertarikh 9 November yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Nege­ri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya.

Di dalam surat itu, Mohd. Amin membe­ritahu bahawa kali pertama arahan untuk membatalkan langganan serta menghentikan iklan dalam akhbar keluaran Kumpulan Utusan ialah pada 12 Jun 2008 iaitu tidak lama selepas pakatan pembangkang membentuk kerajaan di Selangor.

Jelas beliau, arahan pekeliling itu masih lagi berkuat kuasa sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, pemerhatian pentadbiran ini mendapati masih terdapat jabatan, agensi serta anak syarikat kerajaan negeri melanggan akhbar Kumpulan Utusan dan Berita Harian.

“Perkara ini mendapat perhatian daripada pimpinan tertinggi kerajaan negeri yang meminta supaya langganan akhbar tersebut dihentikan serta-merta di setiap jabatan dan agensi,” katanya.

Berikutan daripada langkah itu, Mohd. Amin telah mengarahkan supaya semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri memberi tumpuan kepada langganan akhbar syarikat kerajaan negeri, Selangor Kini, Sinar Hari­an dan The Star sahaja.