Calon bertembung ketika berkempen adalah perkara bia­sa. Namun, yang menariknya apabila mereka berdua mengambil kesempatan itu untuk me­nyatakan aspirasi masing-ma­sing di tempat yang sama.

Dengan berkongsi pembesar suara yang sama, calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menyatakan hasratnya untuk meneruskan tradisi membela pengundi melalui peningkatan kemudahan awam.

Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pula membangkitkan tentang kebimbangan orang Melayu terhadap isu-isu agama, bahasa dan raja-raja Melayu.

Menurutnya, keputusan PRK DUN Sungai Kandis, merupakan peluang kepada rakyat untuk menyampaikan isyarat kepada kerajaan Pakatan Harapan tentang polisi yang dilaksanakan sejak memenangi Pilihan Raya umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Pidato mereka membuktikan suburnya amalan demokrasi di negara ini dan yang pentingnya, kedua-dua mereka tidak menyentuh dan memperlekehkan peribadi masing-masing.

Politik matang seperti itu yang mahu dilihat oleh rakyat negara ini selepas angin perubahan berlaku yang menyaksikan tumbangnya kerajaan BN dan terbentuknya kerajaan PH yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah Menteri Besar Se­la­ngor, Amirudin Shari ketika berkempen menyokong Mohd. Zawawi turut menekankan tentang slogan Malaysia baharu dengan amalan politik matang iaitu tidak ada lagi penghinaan terhadap calon yang bertanding dan penggunaan agensi kerajaan untuk tujuan politik.

Namun, sejauh mana politik baharu dan matang itu mampu dipertahankan oleh PH.

Bagaimana pula dengan BN yang kini bertindak sebagai pembangkang, apakah mereka juga mahu berubah atau bertindak sama seperti pembangkang sebelum PRU-14.

Ketika itu apa yang tidak dihamburkan pembangkang kepada pemimpin BN dan ia me­rupakan satu taktik yang dilihat berkesan dalam meraih soko­ngan pengundi.

Tetapi selepas beberapa hari kempen PRK DUN Sungai Kandis berjalan, nampak gayanya kaedah sama mungkin digunakan oleh PH apabila Amirudin me­nyatakan beberapa pemimpin PH akan tampil mendedahkan siapa sebenar calon BN di Sungai Kandis itu.

Tolak ke tepi sama ada dakwaan mereka benar atau tidak, tetapi pemimpin PH yang dipertanggungjawabkan untuk tugas itu juga penuh dengan kontroversi.

Walaupun menyatakan tentang pentingnya politik matang yang tidak menghina calon, Amirudin berkata, beliau tidak dapat memastikan penceramah PH seperti Ezam Mohd. Noor dan Zahid Md. Arip juga akan bertindak sedemkian.

Mengenali kedua-dua pe­mimpin itu, Lokman Noor bersiap sedialah untuk berhadapan dengan mereka atau ‘menari’ bersama dan pengundi tunggu dan lihat siapa yang akan dilondehkan.