Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, antara aspek yang perlu ditumpukan termasuk menggubal Akta Sabotaj Ekonomi bagi menjamin agihannya adil dan saksama selain menghalang monopoli pihak tertentu dalam rantaian ekonomi negara.

Beliau berkata, akta tersebut berupaya mengekang tindakan beberapa pihak tertentu yang sengaja menggagalkan matlamat dasar negara semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi.

“Penggubalan dan penguatkuasaan akta ini perlu disegerakan melalui kewujudan satu suruhanjaya yang berperanan sebagai pemantau, penyiasat dan bertindak terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat menjalankan aktiviti menjurus kepada sabotaj ekonomi atau memonopoli.

“Suruhanjaya boleh bertindak sebagai badan siasatan telus dengan menerima laporan pihak awam, sediakan bukti semakan kehakiman dan seterusnya mendakwa pihak terbabit sebagai cara mengimbangi agihan ekonomi yang lebih adil untuk semua,” katanya selepas sesi pembentangan cadangan mengenai Penguatkuasaan Undang-undang Terhadap Penyalahgunaan Dasar Ekonomi dan Polisi Negara di sini, hari ini.

Menurutnya, kewujudan akta tersebut menjadi keperluan ketika ini memandangkan terdapat banyak pihak memanipulasi dasar ekonomi dilaksanakan kerajaan sehingga mewujudkan jurang ekonomi dan perbezaan pendapatan isi rumah antara kaum dengan ketara. - UTUSAN ONLINE