Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku.

“Dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku tetapi setakat ini semua (Pas dan UMNO) buat kerja masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar sebelum program Transformasi Nasional (TN50) berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah akan wujud kerjasama di antara UMNO dan Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, UMNO dan Pas telah menjalinkan kerjasama yang erat dalam isu Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355; misi kemanusian ke Myanmar dan ketika banjir besar pada penghujung 2014 di negeri ini.

Najib bagaimanapun berkata, Barisan Nasional (BN) khusus­nya di negeri ini telah membuat persediaan dan menggerakkan jenteranya di semua peringkat.

“Sambutan yang kita lihat memang menggalakkan di peringkat akar umbi tetapi kita tahu bukan kerja mudah di Kelantan, mereka perlu berkerja keras,” katanya.