Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak.


Kata beliau, akta sedia ada memperuntukkan semakan semula kadar gaji minimum dilakukan sekurang-kurangnya dua tahun sekali.


“Namun kita boleh mempertimbangkan jika berlaku sesuatu keadaan mendesak yang menuntut keperluan untuk melakukan semakan lebih daripada sekali dalam tempoh dua tahun, sudah tentu kerajaan sedia berbuat demikian.


“Kalau berlaku keadaan seperti kadar kemampuan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) meningkat, ekonomi negara baik dan sebagainya, maka sudah pasti semua ini akan diambil kira,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mahu menyemak semula kadar gaji minimum setiap tahun. – UTUSAN ONLINE