Peringatan itu disua­rakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini ekoran khabar angin yang mendakwa ada di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor yang akan menyertai PKR.

Tuan Ibrahim berkata, beliau sendiri telah menemui mereka yang difitnah itu dan ingin mene­gaskan berita mengenai ADUN-ADUN Pas tersebut hanya fitnah jahat golongan terdesak untuk menyambung nyawa politik mereka sebelum PRU-14.

“Di sini, saya ingin mengingatkan semua dengan amaran Rasulullah iaitu fitnah adalah sesuatu yang sedang tidur, Allah melaknat siapa yang mengejutkannya,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Baru-baru ini portal propembangkang, The Malaysian Insight mendakwa jentera pili­han raya PKR diminta bersedia mengurus gelombang kedua kemasukan pemimpin dan anggota Pas di Selangor.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau sendiri telah menyaksikan sendiri bagaimana ADUN Pas tetap istiqamah dengan parti di dalam pelbagai isu yang melanda kerajaan PKR Selangor.

“Mereka sangat tabah, sabar dan tetap patuh kepada keputusan parti.

“Akibat kesabaran dan ketabahan mereka inilah wujud pihak yang dengki, iri hari dan berusaha mencetuskan api fitnah agar wujud rasa curiga antara satu sama lain dan dalam kalangan ahli Pas,” katanya.