Walhal, kata Ahli Parlimen Bera itu, Orang Asli merupakan masyarakat bumiputera yang cukup istimewa.

“Termenung saya seketika bila membaca satu kenyataan ringkas melalui twitter milik Lim Kit Siang yang kononnya peka dan berhasrat jika Pakatan Harapan menang di Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini nanti akan mengusulkan supaya Orang Asli diberikan taraf kerakyatan penuh Malaysia.

“Untuk pendidikan mereka (Orang Asli), kerajaan menyediakan biasiswa penuh kepada Orang Asli. Bukan sahaja sekolah percuma, malah mereka dibekalkan dengan pakaian lengkap persekolahan percuma dan mereka mendapat duit poket dari kerajaan dan lain-lain keistimewaan.

“Apakah secetek itu pemikiran seorang Ahli Parlimen yang paling lama berada dalam Dewan Rakyat ini?,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk pengetahuan Kit Siang, kata Ismail Sabri lagi, Kabinet Kerajaan BN sebelum ini telah mewujudkan satu Majlis Penasihat Orang Asli untuk memantau pembangunan masyarakat Orang Asli.

Majlis itu dipengerusikan oleh menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Jawatankuasa dalam majlis tersebut terdiri daripada wakil-wakil Orang Asli, Persatuan Orang Asli Semenanjung, wakil Persatuan Keusahawan Orang Asli, wakil profesional, wakil belia Orang Asli dan lain-lain.

Majlis tersebut, kata beliau, merupakan badan yang bertindak bagi pihak kerajaan untuk mengkaji dan memikirkan keperluan pembangunan kepada seluruh Masyarakat Orang Asli Malaysia.

“Ketika saya menjadi Menteri di KKLW , dalam mengangkat martabat Orang Asli saya telah melantik Orang Asli Pertama dalam sejarah apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di terajui seorang berpangkat Ketua Pengarah dari kalangan Orang Asli iaitu Datuk Ajis Sitin yang berasal dari Cameron Highlands yang ketika itu berkhidmat di Kementerian Kerja Raya.

“Pengarah negeri seperti Pahang dan Perak dari kalangan masyarakat Orang Asli. Negeri Johor ketika itu dalam tindakan untuk mengesahkan jawatan pengarah juga dari kalangan Orang Asli. Ketika itu pencapaian tertinggi Orang Asli ialah berjaya melahirkan empat orang pemegang PhD dari masyarakat mereka hasil dari keistimewaan yang disediakan kerajaan BN sebelum ini.

“Sasaran kerajaan ketika itu ialah untuk menghantar 15 orang pelajar dari kalangan masyarakat Orang Asli ke luar negara setiap tahun dalam pelbagai kursus dan mendapat biasiswa penuh di bawah tajaan Mara,” katanya.

Dalam pada itu semasa Ismail Sabri di KKLW juga, kerajaan BN amat memberikan perhatian khususnya kepada masyarakat Orang Asli apabila dalam pelancaran Program Transformasi Luar Bandar bertemakan Membandarkan Luar Bandar yang melibatkan Orang Asli dalam lima asas utama seperti :-

1.Menyelesaikan pengukuran tanah simpanan Orang Asli.

2.Membangunkan prasarana kawasan Orang Asli.

3.Membangunkan ekonomi Orang Asli

4.Memperkasakan pendidikan Orang Asli

5.Melahirkan dan membangunkan usahawan dari kalangan Orang Asli.

Ismail Sabri berkata, kerajaan BN ketika itu sudah pun mempunyai pelan dan tindakan untuk membangunkan masyarakat Orang Asli sedangkan Kit Siang baru mahu mencadangkan apabila berlaku Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.

Kata beliau: Pelbagai peruntukan pembangunan difikirkan dan diangkat oleh Majlis Penasihat Orang Asli untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum ini. Hasilnya kerajaan BN waktu itu telah meluluskan satu peruntukan yang cukup besar untuk pembangunan masyarakat Orang Asli seperti Pusat Sehenti Gua Musang RM 148 juta.

“Juga meluluskan satu peruntukan untuk membina sebatang jalan kritikal dari Pos Betau ke Pos Lenjang berjumlah RM15 juta. Satu cadangan yang telah dipertimbangkan oleh kerajaan BN juga sebuah pusat sehenti Cameron Highlands berjumlah RM152 juta. Ini merupakan perancangan dan bukti keprihatinan Kerajaan BN sebelum ini tetapi malangnya Kerajaan PH telah membatalkan dua projek yang telah diluluskan dan tidak meneruskan cadangan pembinaan pusat sehenti di Cameron Highlands.

“Oleh itu Orang Asli perlu tahu siapa yang membantu Masyarakat Orang Asli dan siapa pula yang mencantas dan membatalkan projek untuk kemajuan Orang Asli. Kerajaan BN sememangnya menjaga kebajikan Masyarakat Orang Asli manakala Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek kemajuan Orang Asli. Saya juga difahamkan oleh sumber yang sahih bahawa Kerajaan PH juga telah membatalkan satu dana untuk prasarana perkampungan Orang Asli bagi tahun 2019.”

Kit Siang, tegas Ismail Sabri lagi, tidak pernah tahu perkembangan pembangunan Orang Asli sehingga tanpa sedar beliau mengakui bahawa beliau tidak tahu menahu walau status kedudukan Orang asli.

“Saya nasihatkan Orang Asli agar tidak menyokong DAP yang tidak pernah memikirkan pembangunan Orang Asli malah kerajaan baharu ini juga yang telah membatalkan projek-projek untuk kepentingan Orang Asli.

“Akhir sekali bukti bahawa Kerajaan PH tidak langsung mempedulikan pembangunan dan masa depan Orang Asli apabila JAKOA diletakkan di bawah Menteri Perpaduan sedangkan ketika era pemerintahan BN JAKOA diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar.

“Lebih ironi lagi DAP menentang usaha BN untuk mengangkat wakil parlimen dari kalangan Orang Asli dan bakal menjadi Orang Asli Pertama dalam sejarah sebagai Ahli Parlimen yang akan membawa suara seluruh Masyarakat Orang Asli di dalam Dewan Rakyat apabila menang di Cameron Highlands. Malangnya DAP bersungguh-sungguh mahu mengalahkan saudara Ramli Mohd. Nor, calon BN yang berasal dari masyarakat Orang Asli.

“Mari sama-sama kita Tolak DAP Demi Orang Asli,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE